PENAFIAN:


Untuk pengetahuan sahaja. Sila dapatkan nasihat doktor / pakar perubatan bertauliah
mengenai kesihatan anda.

Maklumat perubatan dan penjagaan kesihatan dalam laman ini tidak bertujuan menggantikan jagaan profesional, khidmat nasihat, diagnosis atau rawatan doktor/pakar perubatan bertauliah. Laman ini tidak mempunyai jawapan kepada semua masalah kesihatan dan perubatan yang dialami. Jawapan kepada masalah umum mungkin tiada kaitan langsung dengan keadaan kesihatan anda. Sekiranya anda menyedari tanda/gejala penyakit atau jatuh sakit, sila hubungi doktor/pakar perubatan bertauliah untuk rawatan segera.
Showing posts with label Kes Chikungunya di Malaysia. Show all posts
Showing posts with label Kes Chikungunya di Malaysia. Show all posts

Sunday, June 7, 2020

Kurang kesedaran punca peningkatan kes denggi dan Chikungunya di Ipoh


07/06/2020 01:24 PM


IPOH, 7 Jun -- Kesedaran mengenai aspek kebersihan dalam kalangan penduduk merupakan antara penyumbang utama peningkatan kes demam denggi dan Chikungunya di kawasan Kampung Simee di sini yang berada dalam daerah Kinta. 

Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Khoo Boon Chuan berkata setakat ini, sebanyak 14 kes demam denggi dan tujuh kes Chikungunya direkodkan di kawasan itu sejak hujung April lepas dan ia antara tertinggi di sekitar bandar raya ini. 

"Segelintir penduduk tidak menyelenggara tangki septik di rumah mereka dengan baik selain tidak membuang tin dan peralatan yang boleh menakung air hingga menyebabkan nyamuk aedes membiak," katanya kepada pemberita selepas program Promosi Pencegahan Demam Denggi dan Chikungunya di Dewan Orang Ramai Kampung Simee, di sini, hari ini.

Khoo menasihati masyarakat bahawa mereka tidak sepatutnya meletakkan tanggungjawab sepenuhnya kepada pihak berwajib untuk mengekang wabak itu daripada terus menular. 

"Saya akui dalam beberapa perkara pencegahan terletak di bawah bidang kuasa pihak berwajib namun jika tiada sokongan daripada masyarakat, usaha pencegahan tidak akan berjaya," katanya. 

Mengulas mengenai program itu, Khoo berkata ia merupakan platform untuk memupuk kesedaran masyarakat supaya bantu-membantu dan mengutamakan penjagaan kebersihan terutama di kawasan kediaman masing-masing. 

"Selain gotong-royong dalam skala kecil, program ini juga diadakan bagi mendidik dan menasihat masyarakat supaya mereka sedar bahawa penjagaan kebersihan perlu dilakukan bagi mencegah wabak ini daripada terus merebak," katanya. 

Pada 30 Mei, Pengarah Kesihatan Perak Datuk Dr Ding Lay Ming memaklumkan sebanyak 441 kes Chikungunya direkodkan di Perak sejak Januari hingga 23 Mei lalu iaitu peningkatan sebanyak 30 kali ganda berbanding tempoh sama sebelumnya. 

Sebanyak 12 daripada 14 lokaliti wabak terkawal adalah di daerah Kinta, manakala dua lagi di Kampar.

-- BERNAMA

Saturday, May 30, 2020

Kes Chikungunya di Perak meningkat lebih 30 kali ganda

30/05/2020 02:56 PM


IPOH, 30 Mei  -- Sebanyak 454 kes Chikungunya direkodkan di Perak sejak Januari tahun ini hingga Sabtu lepas, meningkat lebih 30 kali ganda berbanding hanya 13 kes bagi tempoh yang sama tahun lepas.

Pengarah Kesihatan Negeri Perak Datuk Dr Ding Lay Ming berkata berlaku peningkatan sebanyak 441 kes berbanding tempoh sama tahun lepas.

“Daerah Kampar mencatatkan bilangan kes tertinggi pada tahun ini iaitu 157, diikuti dengan Daerah Larut Matang dan Selama (109 kes) manakala Kinta (99 kes). Dalam tempoh sama, Daerah Kinta menunjukkan peningkatan tertinggi bagi kejadian kes dan wabak Chikungunya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya terdapat 15 lokaliti wabak Chikungunya yang masih aktif dilaporkan termasuk satu lokaliti Wabak Tidak Terkawal iaitu tempoh wabak berlarutan melebihi 14 hari di Daerah Kinta.

Terdapat 14 lokaliti Wabak Terkawal iaitu tempoh wabak adalah 14 hari atau kurang dan Daerah Kinta mencatatkan 12 lokaliti dan dua lokaliti di Daerah Kampar.

Dr Ding berkata tiada kematian direkodkan akibat penyakit Chikungunya yang dilaporkan sehingga kini.

Beliau berkata hasil pemeriksaan mendapati punca utama perebakan jangkitan Chikungunya adalah kerana indeks pembiakan Aedes yang tinggi di lokaliti-lokaliti terbabit.

“Antara tempat pembiakan nyamuk Aedes yang ditemui adalah di longgokan sampah haram, di lot kosong terbiar seperti premis atau rumah kosong yang tidak berpenghuni terutamanya dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.

Sebanyak 4,969 bekas positif pembiakan nyamuk Aedes ditemukan semasa pemeriksaan, katanya lagi. 

Katanya Jabatan Kesihatan dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) melaksanakan pelbagai usaha bagi membendung kejadian Chikungunya antaranya menjalankan pemeriksaan dan penghapusan tempat pembiakan di premis-premis persendirian, perniagaan dan tanah lapang. 

Dr Ding berkata 749 kompaun dan 116 notis pembersihan dikeluarkan di bawah Seksyen 8 (1) Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 terhadap pemilik premis yang membiak Aedes, setakat tahun ini.

“Selain itu, pendidikan kesihatan diberikan kepada penduduk setempat menggunakan media sosial dan siar raya semasa PKP dan ketika aktiviti kawalan dilaksanakan oleh PKD malah melaksanakan aktiviti  larvisid, semburan ruang termal (SRT) dan ‘semburan ultra low volume’ (ULV) di semua lokaliti berwabak dan berpotensi wabak di negeri Perak,” katanya.

-- BERNAMA

Sunday, January 12, 2020

Perak rekod 30 kes demam Chikungunya tahun ini sehingga Rabu lepas

Tarikh kemaskini: 12/01/2020



IPOH, 12 Jan -- Sebanyak 30 kes demam Chikungunya membabitkan 17 lokaliti dilaporkan di Perak pada tahun ini sehingga Rabu lepas, kata Pengarah Kesihatan negeri Datuk Dr Ding Lay Ming.

Beliau berkata sebanyak 635 kes demam Chikungunya dilaporkan di Perak membabitkan 60 lokaliti wabak sepanjang tahun lepas bermula Februari.

Bagaimanapun, katanya sehingga kini tiada kematian dilaporkan berlaku disebabkan demam Chikungunya di lokaliti terbabit.

Katanya daripada 17 lokaliti tersebut enam adalah di daerah Batang Padang iaitu di Pekan Temoh, Pekan Tapah, Pekan Tapah Road, Kampung Baru Chenderiang, Kampung Baru Coldstream dan Taman Megah Bidor.

"Lima lokaliti di daerah Larut Matang dan Selama iaitu di Pokok Assam Zon 2, Taman Assamara, Taman Juta, Taman Lela dan Kampung Assam Kumbang, tiga lokaliti di daerah Kampar di KB Kopisan, Estet Hong Chan dan KB Malim Nawar dan tiga lokaliti di daerah Kuala Kangsar iaitu di Taman Tun Sambanthan A, Taman Tun Sambanthan B dan Taman Tun Sambanthan C," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Setakat ini, Dr Ding berkata tiada kes Chikungunya dilaporkan di Kampong Padang Asam dan Padang Rengas di Kuala Kangsar seperti yang ditularkan di media sosial baru-baru ini.

"Hasil pemeriksaan Jabatan Kesihatan di semua lokaliti wabak aktif di Negeri Perak mendapati punca utama kejadian demam Chikungunya adalah kerana indeks pembiakan aedes yang tinggi di lokaliti tersebut," katanya.

Katanya antara tempat pembiakan nyamuk itu adalah di lot kosong terbiar, rumah kosong tidak berpenghuni, longkang tidak diselenggara dengan baik, tong tadahan air tidak bertutup di dalam dan di luar rumah.

Dr Ding berkata tindakan penguatkuasaan telah dilaksanakan dengan 163 kompaun dan 67 notis pembersihan di bawah Seksyen 8 (1) Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 dikeluarkan terhadap pemilik premis yang didapati terdapat pembiakan Aedes.

Beliau berkata pihaknya juga melaksanakan aktiviti larvaciding, Semburan Ruang Thermal (SRT) dan Semburan Ultra Low Volume (ULV) di semua lokaliti berwabak dan berpotensi wabak di Perak bagi membasmi vektor pembawa penyakit nyamuk Aedes.

Orang ramai dinasihat supaya sentiasa menjaga kebersihan di kawasan persekitaran masing-masing dan mengambil langkah pencegahan serta segera mendapatkan rawatan di klinik kesihatan berhampiran sekiranya mengalami demam, katanya.

-- BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...