PENAFIAN:


Untuk pengetahuan sahaja. Sila dapatkan nasihat doktor / pakar perubatan bertauliah
mengenai kesihatan anda.

Maklumat perubatan dan penjagaan kesihatan dalam laman ini tidak bertujuan menggantikan jagaan profesional, khidmat nasihat, diagnosis atau rawatan doktor/pakar perubatan bertauliah. Laman ini tidak mempunyai jawapan kepada semua masalah kesihatan dan perubatan yang dialami. Jawapan kepada masalah umum mungkin tiada kaitan langsung dengan keadaan kesihatan anda. Sekiranya anda menyedari tanda/gejala penyakit atau jatuh sakit, sila hubungi doktor/pakar perubatan bertauliah untuk rawatan segera.

Sunday, June 7, 2020

Kurang kesedaran punca peningkatan kes denggi dan Chikungunya di Ipoh


07/06/2020 01:24 PM


IPOH, 7 Jun -- Kesedaran mengenai aspek kebersihan dalam kalangan penduduk merupakan antara penyumbang utama peningkatan kes demam denggi dan Chikungunya di kawasan Kampung Simee di sini yang berada dalam daerah Kinta. 

Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Khoo Boon Chuan berkata setakat ini, sebanyak 14 kes demam denggi dan tujuh kes Chikungunya direkodkan di kawasan itu sejak hujung April lepas dan ia antara tertinggi di sekitar bandar raya ini. 

"Segelintir penduduk tidak menyelenggara tangki septik di rumah mereka dengan baik selain tidak membuang tin dan peralatan yang boleh menakung air hingga menyebabkan nyamuk aedes membiak," katanya kepada pemberita selepas program Promosi Pencegahan Demam Denggi dan Chikungunya di Dewan Orang Ramai Kampung Simee, di sini, hari ini.

Khoo menasihati masyarakat bahawa mereka tidak sepatutnya meletakkan tanggungjawab sepenuhnya kepada pihak berwajib untuk mengekang wabak itu daripada terus menular. 

"Saya akui dalam beberapa perkara pencegahan terletak di bawah bidang kuasa pihak berwajib namun jika tiada sokongan daripada masyarakat, usaha pencegahan tidak akan berjaya," katanya. 

Mengulas mengenai program itu, Khoo berkata ia merupakan platform untuk memupuk kesedaran masyarakat supaya bantu-membantu dan mengutamakan penjagaan kebersihan terutama di kawasan kediaman masing-masing. 

"Selain gotong-royong dalam skala kecil, program ini juga diadakan bagi mendidik dan menasihat masyarakat supaya mereka sedar bahawa penjagaan kebersihan perlu dilakukan bagi mencegah wabak ini daripada terus merebak," katanya. 

Pada 30 Mei, Pengarah Kesihatan Perak Datuk Dr Ding Lay Ming memaklumkan sebanyak 441 kes Chikungunya direkodkan di Perak sejak Januari hingga 23 Mei lalu iaitu peningkatan sebanyak 30 kali ganda berbanding tempoh sama sebelumnya. 

Sebanyak 12 daripada 14 lokaliti wabak terkawal adalah di daerah Kinta, manakala dua lagi di Kampar.

-- BERNAMA

Wanita bertindak agresif semasa ditahan dalam Op Mabuk


07/06/2020 12:54 AM


KUALA LUMPUR, 6 Jun -- Seorang wanita bertindak agresif dan enggan memberi kerjasama kepada polis semasa ditahan dalam satu sekatan jalan raya (SJR) Op Mabuk di Selangor malam ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Supt Azman Shari'at berkata wanita berkenaan merupakan seorang daripada tujuh individu yang ditahan semasa operasi tersebut.

“Enam sekatan jalan raya telah diadakan termasuk di Subang Jaya, Klang dan Ampang dan kesemua suspek di bawa ke balai polis untuk siasatan lanjut,” katanya ketika meninjau SJR di Lebuh Raya Kajang SILK dekat sini, malam ini.

Menurutnya, enam lelaki tempatan yang ditahan itu akan disiasat di bawah Akta Pengangkutan Jalan manakala  wanita tersebut akan disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA

Thursday, June 4, 2020

11 lelaki ditahan memandu ketika mabuk


04/06/2020 12:34 AM


KUALA LUMPUR,  3 Jun -- Sebelas lelaki ditahan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol dalam Op Mabuk dan Pencegahan Jenayah di empat lokasi sekitar ibu negara malam ini. 

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata,  semua suspek berusia antara 30 hingga 50 tahun ditahan dalam operasi di Jalan Klang Lama,  Hartamas,  Kepong dan Jalan Hang Tuah. 

Menurutnya,  dalam operasi yang bermula  dari 9 malam sehingga 12 tengah malam ini, kira-kira 150 kenderaan diperiksa. 

"Operasi ini akan dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan mereka yang mengambil minuman beralkohol tidak memandu.

Mereka yang ditahan dibawa ke Balai Polis Trafik Jalan Bandar untuk tindakan selanjutnya, " katanya kepada pemberita selepas meninjau sekatan jalan raya yang dilaksanakan pada operasi mengesan pemandu mabuk di Jalan Hang Tuah, di sini,  malam ini. 

Katanya,  kesemua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dalam keadaan mabuk. 

Sementara itu,  ketika mengulas mengenai beberapa pub dan bar yang dibuka sekitar ibu negara,  Mazlan berkata ada antara premis berkenaan mempunyai lesen untuk menjalankan perniagaan restoran makanan. 

Bagaimanapun,  Mazlan berkata 150 pasukan telah ditubuhkan bagi memantau premis terbabit dan kawasan menjadi tumpuan orang ramai supaya Prosedur Operasi Standard (SOP) dipatuhi  seperti yang termaktub dalam Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988. 

"Ada antara pub ini mempunyai lesen restoran yang juga menjual minuman arak tetapi kita pastikan mereka mematuhi penjarakan sosial serta menutup operasi pada 10 malam. 

Sebanyak 463 kompaun telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan yang melanggar SOP Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat dari 19 Mei hingga semalam, " katanya. 

-- BERNAMA

Monday, June 1, 2020

Tiga banduan, seorang jururawat diuji positif COVID-19

Tiga banduan, seorang jururawat diuji positif COVID-19 di Penjara Changi antara April dan Mei


30/05/2020 06:19 PM
Oleh Massita Ahmad

SINGAPURA, 30 Mei -- Tiga banduan baharu dan seorang jururawat am yang bekerja di Kompleks Penjara Changi, diuji positif COVID-19 setakat sehingga Jumaat (29 Mei). 

“Kes ini tiada kaitan antara satu sama lain,” menurut Jabatan Penjara Singapura (SPS) dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut SPS ketiga-tiga banduan yang baru dimasukkan ke dalam penjara, masih lagi menjalani pengasingan semasa mereka diuji positif COVID-19 melalui ujian swab.

“Mereka segera diasingkan daripada banduan yang baru dimasukkan di bawah pengasingan dan ditempatkan di kemudahan penjara berasingan.

“Dua daripada banduan tersebut telah discaj dari kemudahan itu, manakala seorang lagi, sihat secara klinikal. Jururawat am itu telah sembuh dan kembali bertugas,” menurut SPS. 

Menurut SPS, tiada kes jangkitan COVID-19 susulan daripada kes berkenaan yang dikesan pada penghujung April dan awal Mei.

SPS menyatakan pihaknya telah melaksanakan langkah pencegahan untuk penghuni dan petugas sejak bermulanya situasi COVID-19 untuk mengurangkan risiko jangkitan dan memastikan kes itu dapat dikesan lebih awal.

Sebagai sebahagian daripada langkah berjaga-jaga, semua banduan baharu di Kompleks Penjara Changi diasingkan selama 14 hari daripada banduan lain.

Mereka menjalani ujian swab bagi COVID-19 selepas kemasukan dan di akhir tempoh pengasingan, menurut kenyataan itu.

Dalam tempoh pemutus rantaian, semula lawatan keluarga dan program bersemuka untuk para banduan telah digantung, dengan penghuni berhubung dengan keluarga mereka melalui panggilan telefon, surat atau e-surat, menurut kenyataan itu. 

-- BERNAMA

Keracunan puding buih berpunca telur tamat tempoh - Exco Terengganu

gambar hiasan - foto stylecraze



31/05/2020 05:04 PM

KUALA TERENGGANU, 31 Mei -- Kes keracunan makanan akibat puding buih yang melibatkan 99 pesakit di Terengganu baru-baru ini berpunca daripada penggunaan telur yang telah tamat tempoh.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata kesilapan peniaga tersebut kerana menggunakan telur yang sudah lebih dua minggu dari tarikh luputnya.

"Tindakan pun telah diambil oleh Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu dengan menutup dapur premis untuk jualan puding buih tersebut mengikut Seksyen 18 (1) (d) Akta Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 selama 14 hari sehingga 7 Jun depan," katanya kepada pemberita hari ini.

Baru-baru ini, media melaporkan seramai 99 pesakit menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), hospital swasta dan rawatan sebagai pesakit luar di beberapa klinik kerajaan dan klinik swasta setelah cirit-birit, muntah-muntah dan demam selepas menikmati puding buih yang dibeli secara dalam talian pada 22 Mei lepas.

Daripada 99 kes tersebut, yang membabitkan 20 keluarga berlainan, 77 pesakit tinggal di Kuala Terengganu manakala 22 pesakit lagi dari daerah Marang.

Dalam pada itu, Dr Alias berkata kerajaan negeri akan membuat satu kajian terperinci berhubung prosedur operasi standard (SOP) untuk peniaga makanan kecil-kecilan yang beroperasi di rumah bagi mengelak kejadian keracunan itu berulang pada masa depan.

"Kebanyakan mereka tidak mempunyai lesen berniaga, hanya memasak di rumah dan memasarkannya secara dalam talian yang kita tak tahu bagaimana pengendalian masakan dan tahap kebersihan yang diamalkan.

"Jadi kami minta Jabatan Kesihatan sediakan satu SOP untuk peniaga makanan yang beroperasi dari rumah agar dapat bantu mereka jana ekonomi dan pada masa sama pastikan keselamatan makanan yang dijual.

"Penyedia makanan juga perlukan suntikan khas serta mengamalkan tahap kebersihan yang sepatutnya sama seperti peniaga yang beroperasi di premis perniagaan lain," katanya.

-- BERNAMA

Perokok jangan ambil mudah, anda berisiko tinggi jika dijangkiti COVID-19




01/06/2020 10:13 AM

KUALA LUMPUR, 1 Jun -- Jika mesej amaran bahaya merokok di kotak rokok tidak dapat memberi kesan secara menyeluruh, golongan perokok perlu berfikir banyak kali selepas ini bahawa mereka berisiko tinggi untuk mendapat komplikasi yang lebih teruk jika dijangkiti COVID-19.

Ia susulan analisis Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan jumlah kematian akibat COVID-19 terhadap individu merokok lebih tinggi berbanding bukan perokok iaitu 17.6 peratus berbanding 12.1 peratus.

Justeru, perokok dinasihatkan supaya tidak perlu berlengah lagi, buang tabiat merokok dengan segera, amalkan pemakanan yang sihat demi kesihatan diri sendiri dan orang di sekeliling anda.

Sebelum penularan COVID-19, tabiat merokok sudah terbukti mengakibatkan pelbagai jenis penyakit serta boleh melemahkan sistem imuniti manusia termasuk merosakkan paru-paru namun masih ada perokok tidak menghiraukan fakta itu.

Sedar atau tidak, merokok meningkatkan risiko terhadap jangkitan bakteria dan virus terutama ketika wabak COVID-19 ketika ini, jadi pilihan di tangan anda.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melalui kenyataan baru-baru ini juga memaklumkan bahawa perokok adalah berisiko tinggi untuk mendapat komplikasi yang lebih teruk jika dijangkiti virus COVID-19.

Dalam pada itu, setelah hampir tiga bulan rakyat negara ini meneruskan rutin seharian dengan pematuhan terhadap Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), tidak dinafikan golongan bujang antara yang terkesan kerana tidak dapat bertemu keluarga tercinta di kampung halaman ekoran wabak COVID-19.

Memahami situasi tersebut, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kebenaran rentas negeri bagi individu bujang untuk bertemu keluarga masih dibincangkan dan meminta golongan itu bersabar.

Tujuan kerajaan mengenakan arahan PKPB bukanlah untuk memudaratkan keadaan tetapi demi keselamatan rakyat keseluruhannya agar matlamat memutuskan rantaian virus COVID-19 di negara ini tercapai.

Menerusi info grafik yang dikongsi oleh Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) KKM semalam, perkembangan terbaru itu menyaksikan hanya empat negeri yang masih kekal dengan zon hijau iaitu Terengganu, Perlis, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan Labuan.  

Setakat 12 tengah hari semalam, terdapat 57 kes positif COVID-19 dilaporkan dan daripada jumlah tersebut 43 adalah kes melibatkan bukan warganegara, 10 kes import yang mendapat jangkitan di luar negara dan hanya empat kes penularan tempatan dalam kalangan warga tempatan.

-- BERNAMA

COVID-19: Perokok lebih berisiko tinggi maut - KP Kesihatan




31/05/2020 09:28 PM

PUTRAJAYA, 31 Mei -- Penelitian dan analisa awal Kementerian Kesihatan (KKM) berkaitan jumlah kes kematian disebabkan COVID-19 adalah lebih tinggi dalam kalangan perokok berbanding bukan perokok.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata sejarah merokok dan faktor risiko penyakit tidak berjangkit yang dijalankan ke atas 86 daripada jumlah pesakit COVID-19 yang meninggal dunia di Malaysia, didapati 19.8 peratus atau 17 orang adalah terdiri daripada golongan perokok. 

“Analisa juga mendapati bagi kes kematian COVID-19 yang tidak mempunyai sejarah penyakit kronik tetapi merokok, jumlah kematiannya lebih tinggi berbanding kes kematian COVID-19 yang bukan perokok (17.6 peratus berbanding 12.1 peratus).

“Merokok merosakkan fungsi paru-paru, justeru menjadikan badan kita lebih sukar untuk melawan COVID-19 dan penyakit lain,” katanya pada sidang media harian perkembangan COVID-19 di sini hari ini.

Beliau berkata Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019 yang dilancarkan pada 29 Mei lepas, mendapati 21.3 peratus rakyat Malaysia dianggarkan merokok, maka mereka lebih terdedah kepada risiko komplikasi jangkitan COVID-19 yang teruk.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata kempen berhenti merokok tetap dijalankan walaupun ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ataupun Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Nasihat kami kepada orang ramai ialah berhenti merokok...kalau kita boleh berhenti rokok, pasti kesihatan kita lebih baik.

“Kalau kita lihat pada jangkitan dalam kalangan mereka yang merokok, kalau mereka mendapat jangkitan COVID-19, kami tahu komplikasi ataupun kategori dari satu hingga lima, jadi komplikasi mereka yang merokok itu lebih tinggi berbanding mereka yang tidak merokok,” katanya.

Menjelas lanjut, beliau berkata merokok boleh menyebabkan kerosakan fungsi paru-paru dan komplikasi itu mungkin berakhir dengan kematian jika dijangkiti COVID-19.

-- BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...