PENAFIAN:


Untuk pengetahuan sahaja. Sila dapatkan nasihat doktor / pakar perubatan bertauliah
mengenai kesihatan anda.

Maklumat perubatan dan penjagaan kesihatan dalam laman ini tidak bertujuan menggantikan jagaan profesional, khidmat nasihat, diagnosis atau rawatan doktor/pakar perubatan bertauliah. Laman ini tidak mempunyai jawapan kepada semua masalah kesihatan dan perubatan yang dialami. Jawapan kepada masalah umum mungkin tiada kaitan langsung dengan keadaan kesihatan anda. Sekiranya anda menyedari tanda/gejala penyakit atau jatuh sakit, sila hubungi doktor/pakar perubatan bertauliah untuk rawatan segera.
Showing posts with label COVID-19. Show all posts
Showing posts with label COVID-19. Show all posts

Monday, June 1, 2020

Tiga banduan, seorang jururawat diuji positif COVID-19

Tiga banduan, seorang jururawat diuji positif COVID-19 di Penjara Changi antara April dan Mei


30/05/2020 06:19 PM
Oleh Massita Ahmad

SINGAPURA, 30 Mei -- Tiga banduan baharu dan seorang jururawat am yang bekerja di Kompleks Penjara Changi, diuji positif COVID-19 setakat sehingga Jumaat (29 Mei). 

“Kes ini tiada kaitan antara satu sama lain,” menurut Jabatan Penjara Singapura (SPS) dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut SPS ketiga-tiga banduan yang baru dimasukkan ke dalam penjara, masih lagi menjalani pengasingan semasa mereka diuji positif COVID-19 melalui ujian swab.

“Mereka segera diasingkan daripada banduan yang baru dimasukkan di bawah pengasingan dan ditempatkan di kemudahan penjara berasingan.

“Dua daripada banduan tersebut telah discaj dari kemudahan itu, manakala seorang lagi, sihat secara klinikal. Jururawat am itu telah sembuh dan kembali bertugas,” menurut SPS. 

Menurut SPS, tiada kes jangkitan COVID-19 susulan daripada kes berkenaan yang dikesan pada penghujung April dan awal Mei.

SPS menyatakan pihaknya telah melaksanakan langkah pencegahan untuk penghuni dan petugas sejak bermulanya situasi COVID-19 untuk mengurangkan risiko jangkitan dan memastikan kes itu dapat dikesan lebih awal.

Sebagai sebahagian daripada langkah berjaga-jaga, semua banduan baharu di Kompleks Penjara Changi diasingkan selama 14 hari daripada banduan lain.

Mereka menjalani ujian swab bagi COVID-19 selepas kemasukan dan di akhir tempoh pengasingan, menurut kenyataan itu.

Dalam tempoh pemutus rantaian, semula lawatan keluarga dan program bersemuka untuk para banduan telah digantung, dengan penghuni berhubung dengan keluarga mereka melalui panggilan telefon, surat atau e-surat, menurut kenyataan itu. 

-- BERNAMA

Perokok jangan ambil mudah, anda berisiko tinggi jika dijangkiti COVID-19




01/06/2020 10:13 AM

KUALA LUMPUR, 1 Jun -- Jika mesej amaran bahaya merokok di kotak rokok tidak dapat memberi kesan secara menyeluruh, golongan perokok perlu berfikir banyak kali selepas ini bahawa mereka berisiko tinggi untuk mendapat komplikasi yang lebih teruk jika dijangkiti COVID-19.

Ia susulan analisis Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan jumlah kematian akibat COVID-19 terhadap individu merokok lebih tinggi berbanding bukan perokok iaitu 17.6 peratus berbanding 12.1 peratus.

Justeru, perokok dinasihatkan supaya tidak perlu berlengah lagi, buang tabiat merokok dengan segera, amalkan pemakanan yang sihat demi kesihatan diri sendiri dan orang di sekeliling anda.

Sebelum penularan COVID-19, tabiat merokok sudah terbukti mengakibatkan pelbagai jenis penyakit serta boleh melemahkan sistem imuniti manusia termasuk merosakkan paru-paru namun masih ada perokok tidak menghiraukan fakta itu.

Sedar atau tidak, merokok meningkatkan risiko terhadap jangkitan bakteria dan virus terutama ketika wabak COVID-19 ketika ini, jadi pilihan di tangan anda.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melalui kenyataan baru-baru ini juga memaklumkan bahawa perokok adalah berisiko tinggi untuk mendapat komplikasi yang lebih teruk jika dijangkiti virus COVID-19.

Dalam pada itu, setelah hampir tiga bulan rakyat negara ini meneruskan rutin seharian dengan pematuhan terhadap Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), tidak dinafikan golongan bujang antara yang terkesan kerana tidak dapat bertemu keluarga tercinta di kampung halaman ekoran wabak COVID-19.

Memahami situasi tersebut, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kebenaran rentas negeri bagi individu bujang untuk bertemu keluarga masih dibincangkan dan meminta golongan itu bersabar.

Tujuan kerajaan mengenakan arahan PKPB bukanlah untuk memudaratkan keadaan tetapi demi keselamatan rakyat keseluruhannya agar matlamat memutuskan rantaian virus COVID-19 di negara ini tercapai.

Menerusi info grafik yang dikongsi oleh Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) KKM semalam, perkembangan terbaru itu menyaksikan hanya empat negeri yang masih kekal dengan zon hijau iaitu Terengganu, Perlis, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan Labuan.  

Setakat 12 tengah hari semalam, terdapat 57 kes positif COVID-19 dilaporkan dan daripada jumlah tersebut 43 adalah kes melibatkan bukan warganegara, 10 kes import yang mendapat jangkitan di luar negara dan hanya empat kes penularan tempatan dalam kalangan warga tempatan.

-- BERNAMA

COVID-19: Perokok lebih berisiko tinggi maut - KP Kesihatan




31/05/2020 09:28 PM

PUTRAJAYA, 31 Mei -- Penelitian dan analisa awal Kementerian Kesihatan (KKM) berkaitan jumlah kes kematian disebabkan COVID-19 adalah lebih tinggi dalam kalangan perokok berbanding bukan perokok.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata sejarah merokok dan faktor risiko penyakit tidak berjangkit yang dijalankan ke atas 86 daripada jumlah pesakit COVID-19 yang meninggal dunia di Malaysia, didapati 19.8 peratus atau 17 orang adalah terdiri daripada golongan perokok. 

“Analisa juga mendapati bagi kes kematian COVID-19 yang tidak mempunyai sejarah penyakit kronik tetapi merokok, jumlah kematiannya lebih tinggi berbanding kes kematian COVID-19 yang bukan perokok (17.6 peratus berbanding 12.1 peratus).

“Merokok merosakkan fungsi paru-paru, justeru menjadikan badan kita lebih sukar untuk melawan COVID-19 dan penyakit lain,” katanya pada sidang media harian perkembangan COVID-19 di sini hari ini.

Beliau berkata Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019 yang dilancarkan pada 29 Mei lepas, mendapati 21.3 peratus rakyat Malaysia dianggarkan merokok, maka mereka lebih terdedah kepada risiko komplikasi jangkitan COVID-19 yang teruk.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata kempen berhenti merokok tetap dijalankan walaupun ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ataupun Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Nasihat kami kepada orang ramai ialah berhenti merokok...kalau kita boleh berhenti rokok, pasti kesihatan kita lebih baik.

“Kalau kita lihat pada jangkitan dalam kalangan mereka yang merokok, kalau mereka mendapat jangkitan COVID-19, kami tahu komplikasi ataupun kategori dari satu hingga lima, jadi komplikasi mereka yang merokok itu lebih tinggi berbanding mereka yang tidak merokok,” katanya.

Menjelas lanjut, beliau berkata merokok boleh menyebabkan kerosakan fungsi paru-paru dan komplikasi itu mungkin berakhir dengan kematian jika dijangkiti COVID-19.

-- BERNAMA

Thursday, April 16, 2020

Wuhan: Hospital sementara rawat pesakit COVID-19 hentikan operasi

15/04/2020 04:11 PM



WUHAN, 15 April -- Sebuah hospital sementara di Wuhan di wilayah Hubei, China menghentikan operasinya bermula Rabu selepas wabak COVID-19 semakin berkurangan, lapor agensi berita Xinhua.

Hospital Wuhan Leishenshan dibina hanya dalam masa 10 hari untuk kegunaan  merawat pesakit COVID-19. Kumpulan pesakit yang terakhir dipindahkan ke hospital biasa pada Selasa.

"Penutupan operasi hospital itu satu perkembangan penting selepas berbulan-bulan berjuang memerangi wabak maut itu," kata Jiao Yahui, seorang pegawai Suruhanjaya Kesihatan Negara. 

Pada majlis penutup, doktor dan jururawat mengibarkan bendera dan menuliskan nama mereka di pakaian rakan-rakan seperjuangan sebagai tanda kenangan.

Pihak berkuasa berkata buat masa ini Hospital Leishenshan tidak akan dirobohkan. 

"Kami berharap pihak hospital langsung tidak akan beroperasi lagi," kata seorang pegawai daerah sambil diiringi tepukan gemuruh orang ramai.

-- BERNAMA

Thursday, March 5, 2020

COVID-19: Iran terima bantuan antarabangsa



KAHERAH, 5 Mac  -- Iran mula menerima bantuan antarabangsa sebagai menyokong usaha negara itu yang sedang berjuang memerangi penularan wabak COVID-19, lapor agensi berita Xinhua.

Di samping itu, semakin banyak negara di Timur Tengah mengambil langkah-langkah proaktif untuk mengekang penularan virus yang telah mengorbankan ribuan nyawa. 

Jurucakap Kementerian Luar Iran, Abbas Mousavi, berkata bantuan itu disalurkan melalui Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Bantuan kemanusiaan pertama dari kerajaan Perancis diserahkan kepada Kementerian Kesihatan dan Pendidikan Perubatan Iran pada Rabu.

Mousavi berkata turut menghulurkan sumbangan UNICEF, China, Turki dan Austria, serta beberapa negara Eropah. 

Sementara itu, Kementerian Kesihatan dan Pendidikan Perubatan berkata seramai  2,922 orang telah dijangkiti, 92 daripadanya meninggal dunia manakala sejumlah 552 lagi pulih dan dibenarkan keluar hospital.

Naib Presiden I Iran Eshaq Jahangiri pada Rabu berkata kerajaan menggantung penyertaan pegawai dalam acara dan pameran antarabangsa, kecuali Kementerian Luar Negeri.

Lubnan, yang mengumumkan dua kes baharu pada Rabu turut menerima peralatan perubatan yang disumbangkan syarikat China dan ekspatriat di negara ini. Setakat ini, Lubnan mengesahkan 15 kes jangkitan. 

Sementara itu, Direktorat Penerbangan Awam Lubnan menggesa Middle East Airlines memulakan aktiviti pembersihan di bangunan terminal dan bangunan penerbangan awam, sebagai sebahagian langkah pencegahan.

Kerja-kerja pembersihan untuk membasmi kuman turut dilakukan di jalan-jalan di Beirut dan di jabatan-jabatan kerajaan. 

Kerajaan Mesir turut mengambil langkah pencegahan dengan melarang sementara semua ketibaan dari Qatar. Pada Ahad Qatar pula mengumumkan larangan ketibaan dari Mesir, kecuali warganegaranya. 

Kementerian Kesihatan pada Isnin mengumumkan kes kedua COVID-19, melibatkan warga asing manakala pesakit pertama disahkan pulih pada Khamis.

Pada Rabu empat lagi negara di rantau Timur Tengah melaporkan kes COVID-19 antaranya Iraq, yang mengumumkan tiga lagi kes jangkitan, dua di wilayah Diyala dan satu di wilayah Najaf, menjadikan jumlah kes disahkan kepada 35 orang.

Kematian pertama melibatkan seorang lelaki berusia 70 tahun dilaporkan di Kurdistan dan kes kematian kedua di Baghdad.

Di Algeria, empat kes disahkan COVID-19 dilaporkan pada Rabu, menjadikan keseluruhan kes meningkat kepada 12 orang.

Di Oman sehingga kini mencatatkan 15 kes.

Di Arab Saudi pula kes kedua dikesan melibatkan rakyatnya yang baru pulang dari Iran melalui Bahrain.

Kementerian Dalam Negeri turut mengumumkan penggantungan sementara Umrah untuk warga dan penduduk Arab Saudi. 

-- BERNAMA

Sunday, March 1, 2020

COVID-19: Cuepacs harap elaun khas untuk penjawat awam di barisan hadapan diperluas



KUALA LUMPUR, 28 Feb -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berharap elaun khas untuk penjawat awam yang terlibat dalam usaha menangani penularan COVID-19 diperluas.

Presiden Cuepacs Adnan Mat berkata pelaksanaannya diharap dapat diperluaskan lagi kepada petugas yang bukan sahaja tertumpu di pintu masuk negara malah di pusat di mana pesakit COVID-19 dirawat.

Beliau berkata Cuepacs menyokong penuh dan berterima kasih kepada Perdana Menteri Interim Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengumumkan pemberian elaun khas kepada doktor, jururawat, petugas perkhidmatan kesihatan, pegawai imigresen dan pegawai lain di barisan hadapan.

“Kerajaan dilihat begitu prihatin dengan beban yang ditanggung oleh penjawat awam ketika wabak COVID-19 ini berlaku.

“Dengan pemberian elaun khas ini, sudah semestinya petugas-petugas berasa gembira dan seterusnya akan sentiasa memberikan perkhidmatan yang terbaik dan berkualiti kepada rakyat serta negara dalam melindungi Malaysia daripada penularan COVID-2019,” menurutnya dalam satu kenyataan hari ini. 

Dr Mahathir ketika mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 di Bangunan Perdana Putra di Putrajaya semalam berkata kerajaan akan memberi elaun khas sebanyak RM400 sebulan kepada doktor serta petugas perubatan dan RM200 kepada Imigresen serta petugas lain yang terlibat, berkuat kuasa Februari 2020 hingga penularan COVID-19 berakhir.

-- BERNAMA

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...