PENAFIAN:


Untuk pengetahuan sahaja. Sila dapatkan nasihat doktor / pakar perubatan bertauliah
mengenai kesihatan anda.

Maklumat perubatan dan penjagaan kesihatan dalam laman ini tidak bertujuan menggantikan jagaan profesional, khidmat nasihat, diagnosis atau rawatan doktor/pakar perubatan bertauliah. Laman ini tidak mempunyai jawapan kepada semua masalah kesihatan dan perubatan yang dialami. Jawapan kepada masalah umum mungkin tiada kaitan langsung dengan keadaan kesihatan anda. Sekiranya anda menyedari tanda/gejala penyakit atau jatuh sakit, sila hubungi doktor/pakar perubatan bertauliah untuk rawatan segera.

Sunday, May 18, 2008

Malaria musuh lama berwajah baru

ARKIB : 18/05/2008


WABAK Malaria telah menghantui dunia dan manusia sejagat berabad lamanya. Parasit satu sel dari spesies Plasmodium merupakan mikro-organisma yang bertanggung jawab menyebabkan malaria. Nyamuk Anopheles betina pula adalah vektor penyumbang penyebaran penyakit malaria terutamanya di kawasan luar bandar. Nyamuk ini memerlukan sel-sel darah merah yang kaya dengan protein dan hemoglobin untuk bertelur.

Semasa ia sedang menghisap darah dari mangsanya, parasit Plasmodium yang berada di kilang air liur nyamuk itu akan memasuki kitaran darah mangsa sebelum bergerak ke sel-sel hati untuk berkembang dan membiak. Ketika ini mangsa mungkin tidak tahu dirinya sudah dijangkiti parasit berkenaan sehinggalah kira-kira satu atau dua minggu kemudian apabila tanda-tanda penyakit malaria mulai kelihatan. 

Perkataan malaria berasal dari perkataan Itali, mal‘aria, yang bermaksud udara yang teruk. Penyakit ini sudah menular di kalangan masyarakat Rome berabad lamanya dan ketika itu ia dikaitkan dengan udara kotor yang datang dari kawasan berpaya. Secara kebetulan, kawasan yang berair dan berpaya adalah sumber pembiakan vektor pembawa parasit Plasmodium. Ada empat jenis parasit Plasmodium yang boleh menyebabkan malaria kepada manusia iaitu Plasmodium Ovale, P. Malaria, P.vivax dan P. falciparum.

Antara ke empat-empat ini, P. falciparum adalah yang paling merbahaya kerana ia boleh menyebabkan malaria otak dan melalui mutasi, ia juga boleh menjadi kalis terhadap ubat-ubat malaria yang sedia ada. P. falciparum melibatkan hampir separuh dari kes- kes malaria di seluruh dunia dan merupakan punca 95 peratus kematian akibat malaria.

Kesan-kesan dari wabak malaria mungkin tidak nyata kepada negara-negara maju seperti di Australia, Britain ataupun Amerika Syarikat (AS). Britain dan AS bagaimanapun masih mencatatkan beberapa kes malaria setiap tahun. Malaria tidak begitu diberi perhatian oleh sesetengah pihak kerana ianya adalah wabak yang sering dikaitkan dengan kawasan pendalaman ataupun kawasan yang mundur. Begitupun, tidak seperti penyakit cacar atau polio yang sudah dianggap terkawal, sumber Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menegaskan bahawa malaria masih lagi menjadi masalah endemik kepada 106 negara di dunia, terutamanya negara-negara dari benua Afrika dan Asia. 

Zambia adalah di antara negara benua Afrika yang teruk dilanda wabak ini. Di sesetengah wilayahnya, hampir satu pertiga kanak-kanak di bawah umur lima tahun sudah dihinggapi penyakit ini dan ia juga menjadi penyebab utama kematian hampir 20 peratus bayi-bayi di bawah usia lima tahun di Zambia. Sungguhpun Zambia dianugerahi dengan tanah-tanah lapang yang agak subur dan hasil bumi yang kaya, kebanyakan penduduknya teruk dilanda wabak ini sehingga ianya turut menjejaskan pertumbuhan ekonomi. Tidak hairanlah jika Zambia tergolong di antara negara yang termiskin di dunia.
Di semenanjung Malaysia, suatu rancangan umum membanteras penyakit ini mula diperkenalkan dari tahun 1967. Pada tahun 1980, ia diganti dengan Program Pengawalan Malaria yang mendapat kerjasama dan pemantauan dari WHO. Program ini kemudiannya diperluaskan ke Sabah dan Sarawak pada 1986. Kesan dari rancangan ini jelas apabila kes-kes malaria menurun secara keseluruhan di Malaysia. Sabah, antara negeri terburuk mendapat kes-kes malaria juga menunjukkan kemajuan dalam kawalan. Mengikut data WHO (2005), pada tahun 1995, 84.2 peratus kes malaria di Malaysia adalah dari Sabah yang kemudiannya menurun kepada 27.9 peratus pada 2003. Kes malaria di Malaysia juga menurun sebanyak 92.7 peratus dalam tempoh sama, dengan 59,208 kes pada 1995 berbanding hanya 6,338 kes pada 2003.
Parasit Malaria
Semenjak wabak malaria mula direkodkan kira-kira 1,700 tahun dahulu, sudah banyak penawar atau ubat-ubat yang digunakan manusia untuk memerangi penyakit ini. Kebanyakan daripada ubat yang digunakan adalah dari jenis herba dan tidak begitu berkesan untuk mencegah malaria. Parasit Plasmodium juga mempunyai rangkaian DNA yang lebih kompleks dari bakteria atau virus yang menyebabkan ia lebih tahan terhadap ubat- ubatan tradisional mahupun antibiotik biasa. Kitaran hidupnya yang ‘canggih’ dan kompleks turut menyebabkan vaksin sukar untuk dihasilkan. 

Kitaran hidup parasit Plasmodium secara amnya bermula di sel-sel hati setelah ia memasuki kitaran darah pesakit. Di situ, ia akan berkembang dengan memakan sel-sel hati sehingga jumlahnya meningkat 40 ribu kali ganda. Selepas kira-kira satu hingga dua minggu, ia akan mencapai tahap kritikal dan sel-sel yang dijangkiti tadi akan pecah dan berjuta-juta parasit mikro ini akan mula memasuki kitaran darah pesakit. Parasit-parasit ini akan ‘dikitarkan’ semula ke hati dan memulakan semula proses membiak. Pada masa yang sama, parasit-parasit ini juga mula menyerang sel-sel darah merah. Tidak seperti sel-sel hati, sel-sel darah merah mulai pecah dalam masa satu atau dua hari sahaja dan menyebabkan gandaan parasit ini bertambah dengan lebih cepat. 

Pada masa inilah sistem pertahanan badan mula menyedari akan masalah yang berlaku di dalam badan dan mula bertindak dengan menghasilkan sel-sel imuniti untuk membunuh parasit Plasmodium tadi. Pesakit akan mula mendapat demam, menggigil kesejukan, sakit kepala dan sakit sendi-sendi dan tulang.

Namun begitu, memandangkan kebanyakan parasit ini bersembunyi di dalam sel-sel badan untuk membiak, sistem imuniti badan tidak dapat berbuat apa-apa. Ini juga menyebabkan demam malaria ada julat kebah dan demamnya. Ketika kebanyakan parasit yang berada diluar sel-sel dibunuh oleh sel-sel imun badan, pesakit akan berasa sihat sedikit dan demamnya juga akan berkurangan untuk seketika. Proses ini akan berulang dan berterusan sehinggalah banyak sel-sel darah merah dan hati dimusnahkan oleh parasit ini. Ketika ini sistem imun badan sudah tidak lagi mampu untuk terus melawan parasit ini, menyebabkan pesakit akan koma, dan akhirnya mati akibat anemia (kekurangan darah merah) jika tidak diberikan rawatan dan ubat anti-malaria.
Di sesetengah tempat yang sudah lama mendapat endemik wabak malaria, kebanyakan penduduknya mempunyai genetik sel sabit (sickle cell), yang pada dasarnya adalah suatu kecacatan pada darah merah. Kapasiti pembawaan oksigennya tidak sebaik sel darah merah biasa, namun kecacatan ini memberikan sedikit daya tahan terhadap serangan Plasmodium. Namun, jika tanggungan dan jumlah parasit di dalam badan sangat tinggi, lambat-laun pesakit akan ‘tewas’ juga. 

Sejarah dunia menangani malaria

Sebelum ubat Kuinin dijumpai di Peru dan Equador, tidak banyak ubat-ubatan lain yang boleh dianggap berjaya melawan malaria. Kuinin berasal dari kulit kayu cinchona iaitu sejenis tumbuhan dari keluarga kopi. Penduduk pribumi memanggil ubat ini sebagai quina quina yang bermaksud kulit dari kayu. Dari sinilah perkataan kuinin digunakan. Pengetahuan mengenai kegunaan Kuinin ini pesat tersebar sehinggalah ke Eropah dan Asia Timur. Namun begitu, ianya sukar didapati kerana pokok cinchona hanya boleh didapati di utara Amerika Selatan. Pedagang-pedagang dan penjelajah terpaksa memasuki hutan-hutan di Amerika Selatan untuk mendapatkan ubat ini sehinggalah pokok cinchona berjaya ditanam di Sri Lanka dan di pulau Jawa, 200 tahun selepas Kuinin ditemui. 

Sekitar 1940-an, ubat anti-malaria jenis sintetik, Chloroquine, juga sudah berjaya dihasilkan dengan kos lebih murah, senang didapati dan lebih selamat dari Kuinin. Pada masa itu, Chloroquine juga memberi perlindungan yang lebih lama terhadap serangan kesemua spesies Plasmodium. 

Penemuan kedua yang memberikan impak yang besar terhadap wabak malaria adalah dengan terciptanya dichloro-diphenyl-trichlroethane atau DDT. Paul Muller, ahli kimia dari Switzerland telah dianugerahkan hadiah Nobel setelah dia berjaya mencipta bahan ini pada 1948. Dengan adanya DDT, vektor penyebar parasit, iaitu nyamuk Anopheles betina dan kawasan pembiakannya dapat dimusnahkan secara besar-besaran. DDT bukan sahaja membunuh nyamuk dewasa tetapi ia juga berkesan membunuh jentik-jentik. Wabak malaria di seluruh dunia mula menurun dan dapat dikawal dengan penggunaan DDT dan ubat anti-malaria, Chloroquine. 

Dengan berbekalkan kedua-dua senjata baru ini WHO mengusulkan perancangan supaya malaria dihapuskan terus dari bumi. Walaupun begitu, ianya menemui jalan buntu kerana masalah kewangan dan tenaga manusia. Di samping itu, kebanyakan negara-negara maju sudah tidak lagi berminat untuk memberikan sumbangan kerana ketika itu malaria sudah tidak lagi menjadi masalah yang utama bagi mereka. Program ini akhirnya mula dipinggirkan semenjak 1969. 

Keadaan ini menjadi bertambah buruk lagi apabila wujud pula kes-kes malaria baru yang kalis kepada Kuinin ataupun Chloroquine. Lebih membimbangkan lagi apabila kesemua kes-kes baru ini adalah hasil mutasi Plasmodium falciparum yang sudah diketahui merbahaya dan sukar untuk diubati. Parasit jenis baru ini tersebar dengan cepat dan menyebabkan kes-kes malaria kembali meningkat dengan mendadak. Sekitar 1990-an, malaria kembali menjadi tumpuan WHO. Hampir setengah billion penduduk dunia juga dianggarkan telah dijangkiti malaria dan sekurang-kurangnya satu juta pesakit meninggal dunia akibat penyakit tersebut sepanjang 2006. Angka ini adalah dua kali ganda dari jumlah penduduk dunia yang dijangkiti malaria pada dua dekad yang lalu. Kebanyakan pesakit terdiri juga daripada kanak-kanak di bawah umur lima tahun yang berasal dari Afrika.

Menentang

Artemisia pula merupakan nafas baru di dalam memerangi wabak ini. Herba ini sudah lama digunakan oleh masyarakat Cina semenjak kurun keempat selepas masihi lagi. Namun, di atas sebab-seba tertentu, ia tidak pernah dipelopori sehinggalah sekarang. Artemisinin adalah pati yang dihasilkan dari herba tersebut.

Ia turut diolah dengan sesetengah ubat anti-malaria yang lain bagi mengelakkan parasit Plasmodium daripada membentuk ketahanan terhadapnya. Ubat anti-malaria terbaru ini dikenali sebagai terapi berasaskan Artemisinin atau ACT. Sehingga kini, ubat terbaru ini merupakan ikhtiar terakhir kita terhadap jangkitan Plasmodium falciparum yang telah mengalami mutasi.

Kebimbangan parasit malaria akan bermutasi lagi dan menjadi kalis kepada ACT di masa hadapan menyebabkan banyak saintis mula merintis ke arah penghasilan vaksin terhadap parasit tersebut. Setakat ini, usaha ini masih menemui jalan buntu kerana kitaran hidup parasit malaria yang kompleks. Parasit ini berubah-ubah kepada sekurang-kurangnya lima bentuk yang berlainan sebelum melengkapkan satu kitaran hidupnya.

Agak sukar juga untuk menghasilkan satu vaksin yang boleh bertindak terhadap kesemua bentuk parasit di dalam kitar hidupnya. Setakat ini, sinar radiasi dikenal pasti dapat melemahkan Plasmodium. Plasmodium yang dilemahkan ini kemudiannya disuntik ke dalam pesakit yang tinggal di kawasan malaria tegar untuk meningkatkan daya tahan badan dari serangan malaria yang sebenar. Walaubagaimanapun, usaha ini masih lagi di peringkat kajian awal.

Pendekatan kedua ialah dengan cara penghapusan besar-besaran vektor penyebar parasit malaria. Penghapusan secara fizikal nyamuk Anopheles dengan menggunakan racun secara amnya agak murah, tetapi ianya hanya berkesan untuk kawasan-kawasan yang mudah dijelajahi oleh petugas-petugas mahupun persatuan sukarela. Lagipun, terdapat banyak kesan sampingan dari pengunaan racun seperti DDT yang sudah diharamkan penggunaannya di negara-negara maju. Sungguhpun DDT tidak merbahaya kepada manusia, tetapi ia memberikan impak yang buruk terhadap alam sekitar dan banyak hidupan liar seperti ikan salmon, singa laut dan burung helang peregrine. 

Idea terbaru dalam proses penghapusan nyamuk Anopheles kini ialah dengan cara menghasilkan banyak nyamuk jantan Anopheles yang mandul. Telur hasil dari persenyawaan dengan nyamuk jantan ini tidak akan menetas dan lama kelamaan populasi nyamuk Anopheles akan pupus dan seterusnya akan menyebabkan parasit Plasmodium tidak dapat disebarkan lagi. Nyamuk jantan mandul yang akan dihasilkan melalui proses mutasi gen (kejuruteraan genetik) mungkin menjadi jalan keluar kepada masalah wabak malaria yang sudah bertapak di bumi ini sejak sekian lama. 

Walau apa pun perancangan untuk memerangi wabak ini, yang pastinya di mana sahaja terdapat kawasan takungan air yang tidak mengalir, terutamanya di pendalaman, nyamuk Anopheles akan menjadikannya sebagai sarang pembiakannya. Setiap tiga hari, nyamuk betina akan mencari mangsanya sehinggalah ia bertelur dan setiap kali ia menghisap darah, parasit malaria akan disebarkan kepada pesakit baru. Selagi tiada usaha keras untuk menyekat kesinambungan kitaran ini, sehingga itulah penyakit malaria akan terus wujud dan menjadi masalah kepada manusia sejagat.

--- UTUSAN MALAYSIA

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...