PENAFIAN:


Untuk pengetahuan sahaja. Sila dapatkan nasihat doktor / pakar perubatan bertauliah
mengenai kesihatan anda.

Maklumat perubatan dan penjagaan kesihatan dalam laman ini tidak bertujuan menggantikan jagaan profesional, khidmat nasihat, diagnosis atau rawatan doktor/pakar perubatan bertauliah. Laman ini tidak mempunyai jawapan kepada semua masalah kesihatan dan perubatan yang dialami. Jawapan kepada masalah umum mungkin tiada kaitan langsung dengan keadaan kesihatan anda. Sekiranya anda menyedari tanda/gejala penyakit atau jatuh sakit, sila hubungi doktor/pakar perubatan bertauliah untuk rawatan segera.

Thursday, September 26, 2019

Malaria masih ancaman

Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my

KES malaria di Malaysia secara keseluruhannya sudah berkurangan. Pada awal 2000, sebanyak 12,000 kes dilaporkan. Pada 2016, lebih 2,300 kes malaria dicatatkan, malangnya jumlah ini meningkat ke lebih 4,000 kes pada 2017.

nyamuk betina Anopheles

Malaria adalah parasit yang dibawa oleh nyamuk betina Anopheles. Apabila nyamuk yang dijangkiti menggigit manusia, kuman malaria akan memasuki tubuh individu berkenaan dan selang beberapa hari, tanda-tanda demam malaria mula muncul.

Pakar Penyakit Berjang­kit Pusat Pakar Universiti Malaya, Prof Madya Dr Sharifah Faridah Syed Omar berkata, ada lima jenis parasit yang sering mengakibatkan demam malaria iaitu Plasmodium falciparum (P falciparum), Plasmodium vivax (P vivax), Plasmodium ovale (P ovale), Plasmodium malariae (P malariae) dan Plasmodium knowlesi (P knowlesi).

Beliau berkata, P falciparum membawa risiko tinggi untuk pesakit mengalami demam malaria yang lebih serius. Bagaimanapun, P vivax dan P knowlesi juga boleh mengakibatkan situasi klinikal yang serius.

“Risiko jangkitan paling tinggi dalam kalangan mereka yang menghampiri kawasan yang ada nyamuk berkenaan (vektor atau pembawa) dan kes-kes malaria, seperti di hutan.

“Setakat ini, tiada vaksin yang sudah dikomersialkan untuk mencegah malaria. Namun, orang ramai yang ingin me­ngunjungi tempat ada kes malaria disaran ambil langkah pencegahan,” katanya.


DEMAM suhu tinggi antara simptom yang perlu diperiksa.

Jelasnya, orang ramai, sama ada warga negara atau warga asing yang berkunjung atau berasal dari tempat yang diketahui ada penyakit malaria seperti di pedalaman dan kawasan hutan di Sabah, Sarawak, Pahang, Perak dan lain-lain, di rantau asing seperti di Afrika, perlu berhati-hati supaya tidak dijangkiti malaria.

Tambahnya, gejala yang kerap dilihat termasuk demam tinggi, sakit kepala, muntah-muntah, sakit-sakit badan, cirit-birit dan hilang selera makan.

“Tanda-tanda serius termasuk ‘malaria serebrum’ atau jangkitan di otak menyebabkan pesakit tidak sedar atau mengalami sawan, pendarahan, kegagalan organ seperti kegagalan buah pinggang dan hati, sesak nafas, darah merah pecah sehingga mengalami kekurangan darah yang mengakibatkan pesakit menjadi pucat dan kuning.

“Kebanyakan pesakit akan mengalami tanda-tanda yang tidak serius. Golongan yang berisiko mengalami ‘jangkitan malaria yang rumit’ termasuk bayi dan kanak-kanak kecil berusia enam bulan hingga lima tahun,” katanya.

Dr Sharifah Faridah berkata, ibu mengandung dan pengembara dari kawasan tiada malaria yang tidak pernah terdedah kepada penyakit ini dan menziarahi kawasan endemik malaria mempunyai potensi atau risiko mendapat malaria.

“Rawatan segera perlu diberi, terutama jika pesakit menunjukkan tanda malaria yang serius seperti dinyatakan. Rawatan termasuk ubat antimalaria seperti terapi kombinasi berasaskan artemisinin, chloroquine dan primaquine.


IBU mengandung berisiko mendapat malaria.

“Pesakit juga perlu dirawat mengikut komplikasi yang timbul. Jika pesakit berada di kawasan yang ada nyamuk Anopheles, maka perlu dikuaratinkan.

“Dari segi bilangan kes, kes malaria tidak setinggi denggi,” katanya.

Dr Sharifah Faridah menjelaskan, walaupun lebih banyak kes denggi berbanding malaria, kebanyakan kes denggi lebih cepat dan jumlah kes denggi yang serius tidak tinggi.

“Bagi kes malaria pula, jika tidak dikesan awal dan diberi rawatan secukupnya, boleh membawa kepada kes yang lebih rumit dan serius. Langkah pencegahan termasuk melindungi diri daripada digigit nyamuk apabila berada di kawasan berisiko dijangkiti malaria dan mengambil ubat prophylaxis sebelum memulakan perjalanan ke kawasan adanya kes malaria.

“Berjumpa dengan dok­tor secepat mungkin jika mengalami tanda demam selepas pulang dari kawasan malaria,” katanya.


Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mei 2019 @ 6:31 AM
Harian Metro

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...